ALOR SETAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan berazam memperluas liputan 5G di kawasan desa dan tidak terhad kepada kawasan berpenduduk tinggi semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keterangkuman teknologi adalah keperluan asas bagi pembangunan luar bandar yang holistik selari dengan tuntutan semasa serta keperluan generasi muda.
Katanya, jurang digital ketara yang menjejaskan akses kepada maklumat dan peluang ekonomi di kalangan masyarakat luar bandar.
“Di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan FELCRA dan kawasan kampung lain pun perlu ada 5G, kita berazam untuk meluaskan liputan ini ke kawasan desa.
“Di kampung pun anak-anak perlukan internet laju, mereka perlu untuk pembelajaran dan keusahawanan,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancangan dan Pelaksana (4P) KEDA di Dewan Universiti Antarabangsa Al-Bukhari di sini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, kementerian akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk menyelaras peluasan infrastruktur 5G di lokasi strategik luar bandar yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya, perluasan liputan internet berkelajuan tinggi akan memperkasa pelajar luar bandar, memperkukuh keusahawanan belia, serta meningkatkan kecekapan pentadbiran komuniti setempat.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), turut mengingatkan pemimpin desa agar sentiasa turun padang dan tidak hanya bergantung kepada laporan semata-mata.
“Pemimpin perlu mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Kita mesti jadi pemimpin yang ada di tengah masyarakat, bukan hanya di atas kertas. Keluhan rakyat perlu kita dengar sendiri, bukan hanya melalui laporan yang dihantar ke pejabat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam pengurusan desa dengan menegaskan bahawa kepimpinan tanpa amanah umpama rumah tanpa tiang, yang akan runtuh apabila diuji.
Katanya, segala bantuan dan peruntukan desa mesti disalurkan secara telus untuk manfaat penduduk, bukan kepentingan peribadi.-BH Online