KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan PRASARANA, diarahkan terus beroperasi seperti biasa, esok.
Ia meskipun Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang dijadualkan berlangsung di ibu negara yang mana Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, sebelum ini dipetik berkata ia dijangka dihadiri antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam satu hantaran melalui laman Facebook beliau, hari ini, menegaskan Kerajaan MADANI mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk bagi kumpulan pembangkang.
“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup.
“Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang,” katanya.
Terdahulu, tular satu ‘notis’ mendakwa stesen KTM Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kuala Lumpur akan ditutup mulai jam 9 pagi hingga 5 petang esok, susulan himpunan berkenaan.
Menurut notis itu lagi, tren KTM tidak akan berhenti di stesen-stesen berkenaan sepanjang tempoh penutupan terbabit.
Bagaimanapun, KTMB dalam satu kenyataan balas, menafikan sebarang arahan untuk penutupan stesen sebagaimana dakwaan notis tular dalam sosial media itu.
Dalam pada itu, Loke turut mengingatkan orang ramai yang akan hadir ke ibu kota supaya menggunakan Pas MY50 yang kini boleh diperbaharui secara dalam talian melalui aplikasi Touch N’ Go.
“Setiap pas itu bernilai RM150, pengguna hanya bayar RM50, kerajaan subsidi RM100.
“Bagi yang datang ke ibu kota buat kali pertama, boleh menikmati perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas tanpa had untuk sehari menggunakan MyCity Pass yang harganya hanya RM6.
“Pas ini akan kita digitalkan juga pada hujung tahun,” katanya.-BH Online