KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha termasuk penambahbaikan dasar dan penguatkuasaan dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan produk makanan import ke negara ini bebas daripada unsur tidak halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar, berkata usaha yang dilakukan termasuk meningkatkan kawalan ke atas import makanan, pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara selain pemantauan dan penguatkuasaan sijil dan logo halal.
Selain itu katanya, kerajaan juga turut memperkasakan infrastruktur makmal halal, melaksanakan pendidikan dan kesedaran halal selain mengukuhkan sistem pensijilan halal.
“Kerajaan mengambil serius isu berkaitan kawalan produk makanan import halal memandangkan majoriti penduduk Malaysia beragama Islam berjumlah 63.5 peratus iaitu sekitar 22.4 juta penduduk.
“Usaha berterusan kerajaan dalam menambah baik dasar berkaitan halal menunjukkan komitmen tinggi untuk melindungi kepentingan pengguna Muslim di negara ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai usaha kerajaan untuk penambahbaikan dasar sedia ada bagi memastikan produk makanan termasuk yang diimport bebas daripada unsur tidak halal.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, integriti produk halal termasuk makanan import dapat dipastikan melalui penguatkuasaan undang-undang, kerjasama antara agensi dan penggunaan teknologi moden.
“Ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pengguna, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global,” katanya.-BH Online