Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Insiden kemalangan membabitkan pesawat CN235-220M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 2016 dan 23 Jun lalu, berbeza dari segi punca dan kesan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, kedua-dua insiden melibatkan pesawat yang diterima pada awal 90-an untuk kegunaan pelbagai tugasan termasuk operasi taktikal, logistik udara dan rondaan maritim, tidak menjejaskan keupayaan operasi mahupun kesiapsiagaan TUDM secara keseluruhan.

“Sehingga kini, TUDM sedang mengoperasikan sejumlah lapan pesawat CN235-220M yang merangkumi tiga pesawat utiliti, tiga pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA) dan dua pesawat VIP (orang kenamaan).

“Sebagai makluman, insiden kemalangan pada tahun 2016 dan 2025 adalah berbeza dari segi punca dan kesan.

“Namun demikian, kedua-dua insiden tidak menjejaskan keupayaan operasi mahupun kesiapsiagaan TUDM secara keseluruhan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang dikongsi di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai rancangan penggunaan pesawat CN235-220M oleh TUDM mengambil kira insiden kemalangan yang berlaku di Kuching, Sarawak pada 23 Jun lalu, merupakan insiden kedua melibatkan pesawat jenis sama sejak 2016. 

Mohamed Khaled dalam pada itu berkata, Laporan Lembaga Siasatan berhubung insiden kemalangan berkenaan akan menjadi asas penting untuk memperkemaskan prosedur keselamatan penerbangan, prosedur kecemasan serta input utama dalam memperkukuhkan penyelenggaraan jangka panjang pesawat.

Pada 23 Jun lalu, TUDM dalam satu kenyataan berkata, kemalangan pesawat CN235-220M milik TUDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Sarawak dikenal pasti berkait masalah gear pendaratan.

TUDM ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku pada 11.15 pagi membabitkan pesawat daripada No 1 Skuadron Pangkalan Udara Kuching.-MyMetro Online