Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Projek LRT Laluan Mutiara dijangka memberi memanfaat kepada 1.8 juta orang selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata laluan menghubungkan Butterworth itu akan memudahkan pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Perlis, Kedah dan bahagian utara Perak yang bekerja di Pulau Pinang di samping merancakkan lagi kegiatan ekonomi rakyat.

“Ini akan mengurangkan masa perjalanan dan menambah masa bersama keluarga, selari dengan nilai Kesejahteraan dalam konsep Malaysia MADANI,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudij (PN-Jerantut) yang bertanyakan sama ada keputusan untuk menggunakan dana Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan LRT Penang selari dengan prinsip keutamaan fiskal dan kecekapan perbelanjaan awam.

Loke berkata projek rel berskala besar itu dilaksanakan dengan pendekatan perancangan yang teliti.

Katanya, ia termasuk penilaian kos yang telus, pengurusan risiko rapi dan jajaran dioptimumkan untuk keberkesanan perkhidmatan bagi memastikan kecekapan perbelanjaan awam dipatuhi. 

“Projek ini melalui proses Pengurusan Nilai merangkumi Kajian

Makmal Nilai dan Kajian Kejuruteraan Nilai bertujuan memastikan perbelanjaan projek digunakan secara optimum dan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.

Loke berkata kerajaan mengamalkan dasar fiskal yang mengutarakan kemampanan kewangan awam, memelihara kestabilan makro ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, bagi mencapai objektif berkenaan, kerajaan komited mendukung nilai ketelusan sebagai asas utama dalam tatakelola kewangan negara yang berhemah.

“Fokus utama diberikan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi

yang berpotensi bagi menjana pulangan strategik kepada negara dan

rakyat dalam jangka masa panjang. 

“Keputusan bagi pelaksanaan projek di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) dapat mencerminkan kedudukan sebenar fiskal kerajaan serta mengelakkan dari perbelanjaan berlebihan di luar kemampuan,” katanya.-BH Online