KUALA LUMPUR: Program Blackspot iaitu inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mengurangkan kadar kemalangan di lokasi berisiko tinggi berjaya mengurangkan 25 hingga 60 peratus kemalangan jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata program itu dilaksanakan berdasarkan analisis data kemalangan yang dikumpul daripada pelbagai agensi berkaitan.
“Program ini terbukti berkesan apabila berjaya mencatatkan penurunan purata kadar kemalangan antara 25 peratus hingga 60 peratus.
“Ia sekali gus menyelamatkan nyawa dan harta, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara signifikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Blackspot dan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia di Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.
Nanta berkata, kerajaan memperuntukkan RM37 juta bagi melaksanakan Program Blackspot Fasa 1 dan 2 pada tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM27.1 juta sudah dibelanjakan bagi 76 kerja pembaikan di Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Johor, Perlis, Melaka dan Pahang.
“Kita sudah laksanakan 76 kerja pembaikan di kawasan ‘blackspot’ tetapi masih banyak lagi kawasan yang ada namun kita utamakan mengikut keperluan yang paling mendesak.
“Kita buat ini dahulu dan berharap akan dapat peruntukan pada tahun hadapan bagi menyelesaikan kawasan yang belum dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Nanta berkata, KKR akan menambah skop baharu dalam kontrak syarikat konsesi penyelenggaraan dengan memasukkan pembabitan juruaudit bebas bermula tahun hadapan.
Jelas beliau, pengauditan pihak ketiga penting bagi memastikan pemantauan tidak hanya bergantung kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja, sebaliknya turut membabitkan pihak luar selain meningkatkan akauntabiliti, integriti dan ketelusan.
“Kita akan menggunakan sistem dan jawatankuasa untuk melantik juruaudit bebas dalam kontrak syarikat konsesi penyelenggaraan,” katanya.-BH Online