PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mensasarkan pelaksanaan sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia susulan pengumuman peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata, penambahan pelaksanaan PJRM itu, meningkat daripada 12,441 yang diadakan setakat ini, adalah satu daripada tiga elemen penambahbaikan utama yang akan dilaksanakan.
Katanya, kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara itu membabitkan kesemua 222 kawasan Parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“KPDN amat mengalu-alukan dan menghargai pengumuman-pengumuman inisiatif dan ikhtiar yang telah pun diumumkan semalam oleh Perdana Menteri.
“Inisiatif yang diumumkan tersebut terkait secara langsung dengan agenda kita untuk menangani isu kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas melawat PJRM yang diadakan di perkarangan KPDN di sini, hari ini.
Armizan berkata, elemen kedua yang akan dilaksanakan ialah untuk meningkatkan jenis Unit Penyimpanan Stok (SKU) dalam setiap PJRM, sekurang-kurangnya 30 item dan boleh mencecah sehingga 50 jenis barangan, bergantung kepada lokasi.
Ketika ini, PJRM dilaksanakan melalui tiga cara iaitu di lokasi dalam bangunan, di luar bangunan dan juga secara bergerak (mobile).
Beliau berkata, ia akan membabitkan pelbagai barangan basah dan kering, sekaligus memperbanyakkan pilihan untuk rakyat yang membuat pembelian.
“Yang ketiga ialah untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan strategik di peringkat peruncitan. Kita tidak boleh bergerak sendirian dan sebagaimana sebelum ini, kalau kita lihat dalam siri PJRM pada hari ini juga kita bekerjasama dengan rangkaian sektor peruncitan yang ada.
“Kita akan tingkatkan dengan peruntukan tambahan ini dan dalam tempoh dari Ogos hinggalah Disember, kita perlu menghabiskan peruntukan itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.
Justeru, Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan kerjasama daripada lebih banyak pemain dalam sektor peruncitan untuk terbabit dalam PJRM, selain mengakui ada antara peruncit yang turut menawarkan potongan harga sendiri di premis masing-masing.
Selain itu, beliau berkata, dengan adanya peruntukan tambahan RM300 juta berkenaan, pihaknya melihat kemungkinan untuk menawarkan lebih banyak potongan harga terhadap sesetengah SKU yang ditawarkan.
Ditanya jika pihaknya akan memohon peruntukan lebih banyak untuk siri PJRM bagi tahun hadapan, Armizan berkata, pihaknya akan melihat laporan pelaksanaan pada akhir tahun ini.
“Kita lihat kalau dengan tempoh masa yang diberikan insyaAllah kita akan selesaikan RM300 juta tersebut dan pada akhir tahun kita akan mengemukakan laporan pelaksanaan sebagaimana sebelum ini kepada Kementerian Kewangan, bagaimana, sejauh mana prestasi dan impaknya kepada rakyat dan kita melihat (jika) ada keperluan rakyat… harapan rakyat.
“Kalau kita tengok sambutan pada hari ini cukup luar biasa untuk peruntukan itu ditambah jadi apa pun bergantung kepada laporan pelaksanaan yang akan kita kemukakan,” katanya.-BH Online