Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Masih belum ada keputusan muktamad mengenai cadangan untuk menyerahkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara atau National Football Development Program (NFDP) di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan perbincangan mengenai perkara itu masih lagi berjalan dan keputusan muktamad dijangka akan diperoleh sebelum akhir tahun ini.

Hannah menjelaskan, pihaknya sedar mengenai bebanan yang ditanggung Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini kerana perlu menjaga banyak sukan terutama sukan berprestasi tinggi.

“Jadi dalam bola sepak lebih baik perkara ini dikhususkan dan diambil sendiri tanggungjawab itu oleh FAM. Saya tiada informasi setakat ini tetapi untuk AMD dan NFDP memang kita sedang menilai semula program di bawah MSN.

“Perbincangan sedang berjalan untuk lihat bagaimana FAM boleh memainkan peranan yang lebih besar di AMD. Sepatutnya pembangunan sesuatu sukan itu mesti dijalankan oleh persatuan sukan kebangsaan dan bukan MSN.

“MSN menjaga semua sukan berprestasi tinggi dan mereka kena berlaku adil. Mereka kena mencari dana untuk berikan perhatian kepada sukan berprestasi tinggi. Apabila kita cakap mengenai pembangunan sukan di peringkat akar umbi, yang itu mesti diusahakan oleh persatuan sukan kebangsaan.

“Sekarang ini AMD, fasiliti dan infrastruktur itu memang di bawah MSN, tetapi perbincangan sekarang adalah bagaimana FAM boleh mempunyai tanggungjawab atau peranan lebih besar dalam usaha ini,” katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah bajet yang diperuntukkan kepada AMD sebelum ini akan diserahkan kepada FAM, Hannah menjelaskan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan.

“Perbincangan belum dimuktamadkan, yang penting kita akan ada transisi, jangan risau. NFDP dengan KBS mungkin sebelum akhir tahun ini, kita akan muktamadkan,” katanya.-BH Online