Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sebelum ini dinikmati isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih kini diperluaskan kepada semua rakyat. 

Perdana Menteri berkata, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 ringgit secara one-off melalui MyKad menerusi SARA.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.

“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen hari ini. 

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. 

“Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.-BH Online