Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan akan mempunyai seramai 148 pakar patologi forensik menjelang 2030, berbanding 56 kini yang ditempatkan di 27 hospital di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bagi mencapai sasaran itu, sebanyak empat strategi dilaksanakan iaitu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan meningkatkan slot pengajian kepakaran Program Sarjana Perubatan daripada 1,100 kepada 1,600 slot bagi 23 bidang kepakaran mulai sesi 2023/ 2024.

“Bagi bidang patologi forensik, anggaran slot yang ditawarkan oleh tiga universiti awam bagi lima tahun kebelakangan ini adalah 10 slot setiap tahun.

“Sehingga 30 Jun lalu, terdapat seramai 44 pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian kepakaran bidang ini,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang memint KKM menyatakan pelan tindakan dan strategi untuk menangani ketandusan pakar forensik khususnya dalam patologi dan antropologi.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, strategi ketiga ialah KKM menyediakan slot program Latihan Kepakaran Laluan Parallel sehingga 600 slot setiap tahun membabitkan 14 bidang kepakaran. 

Bagi bidang patologi forensik, katanya, lima slot diperuntukkan untuk mengikuti latihan kepakaran bidang ini. 

“Sehingga 30 Jun lalu, jumlah pelatih latihan kepakaran Laluan Parallel dengan kelayakan Diploma of Jurisprudence, United Kingdom adalah seramai empat orang.

“KKM juga memantapkan program latihan kepakaran Laluan Parallel bagi bidang patologi forensik melalui penambahan kelayakan baru mulai tahun 2024 iaitu Fellowship of the Royal College of Pathologists of Australasia (FRCPA),” katanya.

Beliau berkata, strategi keempat ialah penawaran tujuh bidang latihan ‘area of interest’ kepada pakar perubatan forensik dan antara bidang yang ditawarkan adalah ‘forensic anthropology’.-BH Online