Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan satu notis tuntutan denda lewat berjumlah RM162,754,365.95 sudah dikeluarkan kepada syarikat yang membekalkan 68 kenderaan perisai pada Januari lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata notis tuntutan itu dikeluarkan bagi kelewatan penghantaran 68 unit kenderaan perisai sepanjang tempoh 2020 hingga 2023.

Katanya, pihak syarikat kemudian mengemukakan maklum balas dan merayu supaya denda lewat diketepikan atas alasan terdapat keadaan memaksa akibat pandemik COVID-19 dan perang Russia-Ukraine.

“Permohonan itu dibentangkan pada 6 Mei 2025 dan syarikat dikenakan denda berjumlah RM162 juta dan bon pelaksanaan berjumlah RM53 juta serta baki nilai denda akan dituntut secara pelunasan timbal balik iaitu melalui kontrak semasa atau kutipan secara berasingan daripada syarikat,” katanya ketika penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Terdahulu LKAN mendedahkan terdapat kelemahan serius dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak berkaitan kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi tempoh 2020 hingga 2023, membabitkan implikasi kewangan berjumlah ratusan juta ringgit.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, antara penemuan utama, kerajaan masih belum mengutip denda kelewatan bernilai RM162.75 juta daripada sebuah syarikat pembekal utama kenderaan perisai 8×8 GEMPITA, meskipun kontrak tamat sejak Disember 2022.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan juga akur dengan kelemahan penguatkuasaan terma kontrak.

Bagaimanapun katanya, pihaknya kini dalam proses membangunkan sistem pemantauan kontrak untuk membantu pegawai memantau kontrak.

“Supaya walaupun kita memberi lanjutan masa tapi tidaklah kita ambil denda lewat berkenaan sehingga projek itu ditamatkan,” katanya.-BH Online