KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan terus terpelihara dan tidak terkesan secara langsung sekiranya berlaku perubahan mendadak terhadap bil elektrik akibat ketidakstabilan harga bahan api di pasaran.
Beliau berkata ini kerana Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), telah menetapkan nilai ambang yang memerlukan kelulusan Menteri bagi kelulusan kadar Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA), sekiranya berlaku peningkatan melebihi 10 peratus terhadap caj tenaga asas dan unjuran kos tenaga pada bulan yang akan datang berbading bulan semasa.
“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi terus melindungi pengguna elektrik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu bagaimanakah struktur baharu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga dan mengekalkan subsidi tertumpu untuk golongan B40 dan M40.
Fadillah yang juga Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Jemaah Menteri pada 11 Jun telah meluluskan pelaksanaan mekanisme AFA, bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT), dengan pelarasan kos bahan api akan dilakukan setiap bulan berbanding enam bulan.
Beliau berkata kerajaan kini giat menggalakkan pengguna untuk beralih kepada penggunaan sistem cekap tenaga dan tenaga boleh baharu, dalam memastikan kadar penggunaan tenaga negara dapat dikurangkan.
Bagi mengurangkan impak bil elektrik selain menggalakkan amalan kecekapan tenaga, Fadillah berkata kerajaan telah memperkenalkan insentif cekap tenaga yang diberikan secara terus kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah.
“Insentif ini bertujuan menggalakkan golongan sasar ini untuk lebih bijak dalam pengurusan tenaga dan memastikan tiada keperluan bagi PMKS untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan kadar tarif baharu ini.
“Tambahan lagi, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah juga akan dikecualikan daripada pembayaran caj peruncitan. Ini merupakan bantuan daripada kerajaan kepada golongan tersebut, bagi memastikan mereka terus dilindungi dan tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual baharu ini,” katanya.
Fadillah berkata melalui insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan bersama-sama dengan jadual tarif elektrik baharu, kerajaan menjangkakan perubahan yang minimum kepada bil elektrik pengguna domestik dan juga golongan PMKS dengan 85 peratus pengguna domestik tidak akan terkesan dan terus dilindungi selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim.– BERNAMA