KUALA LUMPUR: Sebanyak 139 perjawatan baharu sedang dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengukuhkan struktur Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam mendepani pola peningkatan aduan berhubung jenayah siber di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia susulan NSRC kini diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan perkhidmatan selama 24 jam sehari.
“Kita kena ada penambahan pegawai dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju supaya JPA menimbangkan sehingga 139 perjawatan baharu.null
“Sekarang ini purata kita terima panggilan adalah 500 sehari dan ‘trend’ itu meningkat, maka kita perlu beri maklum balas terhadap semua aduan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mahu tahu mengenai penambahbaikan dan hala tuju NSRC.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, operasi NSRC yang kini berada di Bank Negara Malaysia (BNM) juga dicadang untuk dipindahkan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dalam menangani kesalahan itu.null
Dalam konteks kerjasama antarabangsa, beliau berkata, Malaysia juga dijangka menandatagani Konvensyen Budapest berkaitan jenayah siber antaranya membabitkan aspek pertukaran bukti digital dan ekstradisi, pada Oktober ini.
“Sepanjang tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 46,086 kertas siasatan membabitkan kes jenayah siber ini.
“Kertas siasatan itu dibuka antaranya mengikut Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.-BH Online