Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pemimpin dunia agar segera mengambil tindakan tegas untuk menghentikan tragedi kemanusiaan di Gaza kini.

Malah, Perdana Menteri menyifatkan krisis sedang berlaku itu sebagai ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau menegaskan pembunuhan kejam ke atas keluarga, termasuk kanak-kanak dan bayi, serta penderitaan akibat kelaparan yang melanda penduduk Palestin mencerminkan pengabaian menyeluruh terhadap maruah dan hak asasi manusia.

“Ia bukan lagi isu politik semata-mata, tetapi pelanggaran terang-terangan terhadap kod moral paling asas, dan penghinaan terhadap nilai kemanusiaan itu mesti dihentikan.

“Semua negara yang mendukung undang-undang antarabangsa serta menjunjung tinggi nilai kehidupan manusia juga digesa untuk bersuara dan bertindak secara kolektif,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar secara khusus menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar menggunakan pengaruhnya ke atas Israel untuk menghentikan segera serangan serta pengeboman tanpa mengira sasaran, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza tanpa sebarang halangan.

“Ini adalah saat yang memerlukan kepimpinan berteraskan moral.

“Inilah masanya untuk membuktikan bahawa nilai-nilai yang kita dakwa pertahankan, bukan sekadar retorik,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara tanpa mengira blok politik atau geografi bagi membantu rakyat Gaza, sekali gus memulihkan nilai kemanusiaan sejagat.

“Malaysia berdiri teguh bersama Gaza. Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya memerhati.

“Biarlah kita dipandu oleh hati nurani, menjawab penderitaan dengan belas ihsan, dan mengejar keamanan demi nilai kemanusiaan kita,” katanya.-BH Online