PUTRAJAYA: Pengurusan air harus dilaksanakan secara holistik, merangkumi aspek bekalan, kualiti, pengairan, banjir dan pemuliharaan ekosistem dalam mempercepatkan pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) yang lebih sistematik dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pengurusan sumber air juga harus dilaksanakan secara inklusif dengan penyertaan aktif semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata pelaksanaan IWRM secara holistik masih menghadapi kekangan.
“Ini termasuk isu penyelarasan antara agensi, keterbatasan sumber kewangan dan tahap kesedaran serta kapasiti teknikal yang masih perlu dipertingkatkan untuk memastikan perubahan segenap lapisan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Forum Air Malaysia (MYWATER) 2025 di sini, hari ini.
IWRM adalah pendekatan penting dalam memastikan sumber air negara diurus secara mampan, menyeluruh dan inklusif serta mengimbangi keperluan pelbagai sektor termasuk domestik, industri, pertanian dan alam sekitar.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam mencapai sasaran dan objektif IWRM di bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.
Selain itu, Fadillah berkata, pendekatan berasaskan bukti perlu dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan IWRM secara sistematik dapat dibuat dengan lebih holistik.
“Keputusan dasar dan pelaksanaan program perlu berteraskan data saintifik, kajian impak dan indikator prestasi yang jelas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dunia kini berdepan cabaran global yang tidak mengenal sempadan.
Katanya, impak perubahan iklim mengubah corak taburan hujan yang menyebabkan cuaca ekstrim, kemarau berpanjangan dan banjir luar jangka sehingga menjejaskan kualiti serta kuantiti air bersih.
“Kita juga menyaksikan pencemaran air yang berulang dan tekanan berterusan terhadap sumber air akibat pertumbuhan pesat bandar serta industri yang turut menjejaskan sektor industri dan pertanian.
“Pada masa sama secara global, lebih dua bilion manusia masih tidak mempunyai akses kepada air bersih yang selamat,” katanya.
Justeru, beliau berharap komitmen dalam mempercepatkan pelaksanaan IWRM secara lebih sistematik dan berkesan dapat diperkasakan.-BH Online