PUTRAJAYA: Pegawai imigresen di negara ini perlu membina dan mendalami kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sebagai persiapan berdepan kepesatan teknologi berkenaan ketika ini.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pegawai imigresen perlu menghadiri kursus di universiti awam (UA) bagi mereka mempelajari bidang berkenaan.
“Saya nak angkat syor, kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, apa maksud ‘immigration embrace AI’ (imigresen menerima pakai AI)
“Yang pertama, beritahu dengan bahagian sumber manusia, hantar dahulu ‘batch by batch’ (secara berperingkat) pegawai imigresen ke fakulti universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Beri mereka pelepasan untuk satu dua minggu, perkenalkan dengan pengetahuan AI ini,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Saifuddin berkata, selaras pendekatan Jabatan Imigresen mengadaptasi bidang AI dalam pengoperasian jabatan berkenaan, ia perlu diterjemahkan dalam peningkatan produktiviti, sistem penyampaian lebih pantas dan kutipan hasil.
Katanya, ia antara perkara perlu dijadikan kayu ukur apabila Jabatan Imigresen mengguna pakai bidang teknologi AI dalam pengoperasiannya, selain menekankan pendekatan berasaskan mesra rakyat.
“Kalau kita perlu pertingkatkan improvise’ sistem, laksanakanlah, kerana kita tetap kekal sebagai barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Pada majlis sama, sistem MyVISA 2.0 turut dilancarkan dan dijangka mula digunakan pada 1 Ogos ini.
Sistem berkenaan sebagai penambahbaikan ke atas sistem MyVISA yang diperkenalkan Jabatan Imigresen pada 1 Disember 2021, bertujuan memperkasakan sistem penyampaiannya.
Ia dibangunkan semula sebagai satu platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat dan efisien selaras kehendak rakyat dan pelawat antarabangsa yang mengutamakan kemudahan dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu, Zakaria berkata, sistem MyVISA 2.0 yang dilancarkan hari ini menggunapakai ciri AI dalam sistem permohonan, yang boleh mengesan di mana pemohon berada, tanpa perlu ke pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
Selain itu, beliau berkata, sebarang keperluan untuk menemuduga pemohon juga akan dijalankan secara dalam talian.
“Kita ada ciri untuk pemohon tidak perlu ke pejabat lagi. AI akan menentukan di mana lokasi mereka untuk terus memohon.
“Inilah versi baharu kita lancarkan hari ini yang mula beroperasi 1 Ogos nanti,” katanya.-BH Online