Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kerahsiaan pengadu kes buli di organisasinya, antara yang terkandung dalam garis panduan akan dilancarkan Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia sebahagian daripada mekanisme berstruktur yang sistematik untuk mencegah, melaporkan dan mengurus insiden buli di seluruh fasiliti kesihatan kerajaan.

“Misalnya melalui ciri saluran selamat, pengadu boleh mengemukakan aduan mengikut platform disediakan dengan jaminan kerahsiaan dan perlindungan individu yang mengadu. 

“Dari sudut sokongan psikososial pula, pengadu akan mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling, susulan pakar profesional serta sokongan berkumpulan untuk mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Dzulkefly berkata, semua pemantauan dan penilaian itu akan dilakukan berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di fasiliti kesihatan awam untuk petugasnya. 

Katanya, garis panduan baharu itu menetapkan dua matlamat, iaitu meningkatkan tahap kesedaran dan kadar pelaporan serta memperbaiki budaya kerja dan kesejahteraan semua peringkat kakitangan.

“Jadi dengan keberkesanan garis panduan pengurusan buli ini akan dilaksanakan melalui mekanisme pemantauan sistematik yang dibuat melalui pengumpulan dan analisis.

“Selain itu, penilaian terhadap pelaksanaan dan pematuhan garis panduan akan dibuat di kesemua fasiliti kementerian,” katanya.

Terdahulu semalam, BH melaporkan penggunaan bahasa atau kata-kata menyakitkan hati menjadi antara elemen buli di tempat kerja disenaraikan dalam garis panduan baharu di klinik dan hospital kerajaan yang akan dilancarkan kementerian pada Oktober ini.

Dr Dzulkefly berkata, elemen buli lisan di tempat kerja itu juga merangkumi kata-kata menghina, mengancam, mengejek dan mengaibkan individu.

Beliau berkata, garis panduan baharu itu kelak turut merangkumi saluran aduan yang selamat dan sokongan psikososial sebagai antara ciri utamanya. 

“Garis panduan yang terpakai kepada semua warga kerja kementerian menggariskan langkah-langkah berstruktur untuk mencegah, melaporkan dan mengurus insiden buli di seluruh organisasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi pelaku yang disahkan bersalah, individu berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin dan menjalani kaunseling. 

“Garis panduan ini hanya terpakai kepada kepada pekerja dan kakitangan kementerian. Jadi ketua jabatan dan pihak pengurusan bertanggungjawab mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, mencegah insiden buli, melaksanakan kempen kesedaran dan latihan,” katanya. -BH Online