KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 yang bertujuan melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini mendapat kelulusan Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying hari ini dan dibahaskan 23 Ahli Parlimen.
Menurut Hui Ying, sebaik sahaja diwartakan, RUU itu akan memperkenalkan pengawalseliaan bersepadu secara berperingkat, mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri serta keupayaan Suruhanjaya Kredit Pengguna yang akan ditambah baik secara berfasa.
Katanya, suruhanjaya itu akan melaksanakan tugas pengawalseliaan secara berperingkat, bermula dengan penyedia kredit yang kini tidak berada di bawah seliaan mana-mana pihak berkuasa, sebelum pemusatan sepenuhnya dijangka berlaku menjelang tahun 2031.
“Fasa pertama akan menyaksikan suruhanjaya mengawal selia semua perniagaan kredit dan penyedia perkhidmatan kredit yang tidak dikawal selia ketika ini.
“Bagi pembiayaan patuh syariah dan aktiviti pajak gadai patuh syariah, pengawasan akan terus dilakukan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Fasa kedua pula, katanya, membabitkan pemindahan tanggungjawab pengawalseliaan bagi aktiviti kredit tertentu seperti peminjaman wang dan pajak gadai (kini di bawah KPKT), serta sewa beli dan jualan kredit yang kini dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dijangka bermula pada 2028.
“Fasa ketiga pula dijangka bermula pada 2031, dengan hasrat untuk memusatkan peraturan tingkah laku bagi semua aktiviti pasaran kewangan di Malaysia, tertakluk kepada semakan menyeluruh oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan berfasa ini bertujuan memastikan transformasi pengawalseliaan industri kredit pengguna dan proses peralihan dapat dilaksanakan secara teratur serta mengurangkan risiko pelaksanaan.
“Pada masa sama, ia memberi ruang kepada suruhanjaya untuk membina keupayaan serta kemampuannya bagi melaksanakan tanggungjawab lebih besar secara berkesan,” katanya.
Terdahulu, Hui Ying berkata suruhanjaya itu akan ditubuhkan sebagai badan pengawalseliaan di bawah Kementerian Kewangan, dan akan mengawal selia sektor perniagaan yang tidak dikawal selia ketika ini melalui kerangka pelesenan dan pendaftaran yang dilaksanakan di bawah akta berkenaan.
Penubuhan suruhanjaya itu turut mengambil kira kebimbangan berhubung tingkah laku pengutip hutang yang menggunakan kekerasan dan gangguan berlebihan terhadap pengguna kredit.-BH Online