BUKIT GANTANG, 20 Julai – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan inisiatif rintis melantik warden asrama dalam kalangan pesara tentera dan polis di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada Ogos ini.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu akan dimulakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Kita telah pun mengadakan siri-siri interview (temu duga), kita dah senarai pendekkan dan insya-Allah bermula Ogos ini (mula bertugas). SOP (operasi prosedur standard) juga telah kita beri dan kita akan teruskan dari segi latihan,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata MARA bercadang untuk melantik warden asrama dalam kalangan bekas anggota polis dan tentera di asrama sekolah di bawah seliaan majlis itu sebagai langkah untuk menangani kes buli.
Sementara itu, beliau berkata bagi dua MRSM berkenaan, kira-kira 10 orang (tidak lebih 10) warden dilantik terdiri daripada lelaki dan wanita.
Beliau berkata MARA akan memantau tempoh percubaan selama enam bulan bagi melihat pro dan kontra inisiatif berkenaan.
“Kita mendengar semua pandangan. Jika ia berjaya, kita akan melaksanakan di semua MRSM seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata pelantikan warden dalam kalangan bekas anggota tentera dan polis bukan bermakna ia akan mengadaptasi kekerasan sebagai cara mendisiplinkan pelajar.
Sebaliknya, ia melihat keupayaan mereka dalam memantau pelajar asrama termasuk boleh bertindak sepenuh masa berbanding warden dalam kalangan guru sebelum ini yang sedikit sebanyak akan mengganggu tugas hakiki mereka.
“Sebab itulah inisiatif ini kita mulakan supaya dengan SOP dan juga asas yang kita tekankan supaya anak-anak kita mendapat pengawasan dan juga penelitian dari segi perkembangan mereka di asrama dengan selamat.
“Kita nak memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa kita tidak ada kompromi dalam sebarang bentuk buli. Bukan saja buli fizikal tetapi juga buli mental,” katanya. – BERNAMA