Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Reformasi sektor perumahan menjadi antara tumpuan utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan pada 31 Julai ini.

Ia memfokuskan perancangan projek kediaman secara menyeluruh yang wajib dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sekolah, taska, dan taman rekreasi demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan reformasi itu diterjemahkan menerusi pelancaran projek Rumah Bakat Madani SkyWorld Pearlmont di Pulau Pinang semalam, yang merupakan projek perumahan mampu milik terbesar dalam sejarah negara.

“Semalam, kita baru sahaja melancarkan projek rumah mampu milik terbesar dalam sejarah negara, melibatkan kira-kira 38,000 unit kediaman.

“Ia merupakan kondominium bertaraf lima bintang yang ditawarkan pada harga mampu milik, satu pendekatan baharu yang menggabungkan kualiti tinggi dengan kos berpatutan,” katanya selepas melancarkan Minggu Seni Bina Kuala Lumpur 2025 (KLAW 2025), di sini.

Projek itu menawarkan lebih 38,000 unit kondominium lima bintang dengan harga bermula RM225,000.

Ia juga lengkap dengan pelbagai kemudahan moden seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan serta sekolah vertikal dalam kawasan kediaman.

“Ia bukan sahaja rumah mampu milik, tetapi juga dilengkapi sekolah dalam bangunan sama, pertama kali dalam sejarah dunia.

“Inilah wajah baharu perumahan rakyat yang inklusif, mampan dan mesra komuniti,” tambah beliau.-Berita RTM