Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penduduk Teluk Kumbar menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan Kompleks Pasar MADANI dan peruntukan tambahan RM5 juta untuk menaik taraf kemudahan asas di kawasan Barat Daya Pulau Pinang.

Mereka menyifatkan pembangunan itu sebagai langkah tepat untuk memacu kesejahteraan dan ekonomi setempat dan sudah lama menantikan perubahan.

“Mesti bagus lah, senang lah nak beli apa-apa. Kita sudah lama tunggu pasar Teluk Kumbar, tapi yang bagus di sini semua ada..Cina, Melayu, India, meniaga (dalam keadaan) muhibah. Yang patut ada di sini pejabat pos, bank dan stesen minyak. Semua itu tak ada, sedangkan di sini ada hotel besar Lexis, hotel lima bintang lagi,” kata penduduk Teluk Kumbar, Chan Guek Hua, 66 tahun.

“Baguslah bila pasar ini dibina di sini. Memang memudahkan komuniti di kawasan ini. Terima kasih banyak-banyak. Pasar sebelum ini agak menyukarkan penduduk. Tapi bila ada tempat macam ini, memang terbaik. Penduduk perlukan stesen minyak, bank, sebab di sini memang ramai orang dan kawasan ini makin padat,” jelas Mohd Fadli Othman, 38 tahun.

“Pertama sekali, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kesudian hadir ke Teluk Kumbar untuk majlis pecah tanah ini. Ia mengubat rindu orang Teluk Kumbar yang telah lama menantikan projek pasar MADANI ini. Sebagai anak jati Teluk Kumbar, saya amat bangga dan bersyukur dengan pelaksanaan projek yang sangat dinanti-nantikan ini,” kata Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar, Suhairy Salim.

Selesai merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pasar MADANI Teluk Kumbar, Perdana Menteri turut melawat Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar sebelum berangkat pulang.

Lawatan itu membolehkan beliau meninjau secara dekat keadaan infrastruktur sekolah dan mendengar sendiri keperluan penambahbaikan daripada pihak pengurusan.

Kehadiran Anwar di sekolah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap aspek pendidikan, sekaligus menjadi penutup bermakna kepada lawatan kerja beliau di kawasan Barat Daya Pulau Pinang.-Berita RTM