Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi sekolah pondok di negara ini menguasai ilmu baharu, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan mereka tidak ‘ditelan’ perubahan dan perkembangan teknologi.

Sambil menyifatkan institusi itu sebagai benteng penting negara, Perdana Menteri menjelaskan bahawa tanpa penguasaan ilmuwan agama dalam AI serta teknologi baharu, bidang itu akan hanya menjadi versi berasaskan Amerika Syarikat (AS) dan Barat.

“Keadaan berubah sekarang, sebab itu kita harus memastikan ada keserasian antara ulama dengan umara (pemerintah), ada disiplin-disiplin ilmu baharu dan yang lama dipertahankan di (institusi) pondok.

“Saya dan Malaysia antara yang menggagaskan perubahan dalam AI. Namun, saya sedar kalau tidak diterapkan dengan nilai, kalau tidak diterapkan dengan akhlak, kalau tidak dengan pencerahan dan ilmu, AI kita ini adalah AI buatan AS atau Barat.

“Kita mahu AI ini, teknologinya kita tawan tetapi isinya tidak lari daripada landasan akidah, akhlak dan sahsiah Islamiah,” katanya ketika berucap pada Program Malaysia Bermunajat 2025 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Putra, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu, jemaah turut berpeluang mendengar ceramah disampaikan ulama tersohor dari Pakistan, Tariq Jamil.

Menegaskan lanjut, Anwar berkata, pelajar sekolah pondok perlu mempelajari bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum menguasai bidang digital serta teknologi.

“Ini menjadi benteng berterusan dalam menghadapi ujian zaman. Jadi, ini saya sebut mengapa budaya ilmu dengan pengalaman asas pengetahuan mereka, tuan-tuan guru kita, kita terap dalam kalangan masyarakat kita.

“Usaha yang berterusan negara MADANI ini maknanya apa? Negara memacu pertumbuhan yang mahu ekonomi segar, yang mahu teknologi baharu tetapi yang masih terap (diterapkan) dengan asas dan pangkalannya, iaitu asas kekuatan akidah, akhlak dan nilai Islam,” katanya.-BH Online