KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa atau kata-kata menyakitkan hati antara elemen buli di tempat kerja disenaraikan dalam Garis Panduan Pengurusan Buli di klinik dan hospital kerajaan yang akan dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM), Oktober ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata elemen buli lisan di tempat kerja itu juga merangkumi kata-kata menghina, mengancam, mengejek dan mengaibkan individu.
“Dalam garis panduan itu, ada dinyatakan mengenai penggunaan bahasa atau kata-kata yang menyakitkan hati, menghina, mengancam, mengejek dan mengaibkan individu sebagai sebahagian daripada elemen buli lisan di tempat kerja.
“Meskipun garis panduan ini tidak menyenaraikan perkataan secara khusus, sebarang penggunaan bahasa yang menyinggung, terutama jika berlaku secara berulang boleh dianggap sebagai buli tertakluk kepada siasatan dan konteks kejadian,” katanya kepada BH.
Terdahulu pada 12 Julai lalu, Dr Dzulkefly memaklumkan, garis panduan itu sudah siap sepenuhnya dan akan dilancarkan secara rasmi sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober, sebelum ia diedarkan kepada semua fasiliti kesihatan bawah KKM.

Langkah berkenaan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni, bebas ancaman gejala negatif buli serta memperkukuh ekosistem sokongan sedia ada, termasuk sistem MyHelp serta mencerminkan komitmen KKM terhadap kesejahteraan psikososial warga kerja.
Ia juga bertujuan memberi panduan jelas kepada warga kerja KKM dalam mengenal pasti, mencegah dan menangani perbuatan buli selaras usaha mewujudkan persekitaran kerja selamat dan kondusif. Selain itu, bagi menjelaskan prosedur pelaporan sebarang kes buli bersama langkah pencegahan dan intervensi terhadap individu dan organisasi.
Portal aduan kes buli
Melalui proses sedia ada, Portal MyHelp (Pelaporan Buli Bagi Warga KKM) yang diwujudkan pada 1 Oktober 2022 membolehkan pengaduan bagi kes buli dibuat secara talian yang menetapkan tempoh sehingga 15 hari bekerja untuk KKM membuat siasatan, bergantung kategori kes aduan biasa atau kompleks.
Hartal Doktor Kontrak (HDK) sebelum ini menyarankan beberapa lagi aspek dimasukkan dalam garis panduan baharu seperti penubuhan jawatankuasa bebas yang mempunyai kuasa penuh menyiasat setiap isu buli serta melaksanakan hukuman setimpal bagi memastikan gejala negatif itu dapat ditangani secara berkesan.
Selain itu, syor mewujudkan platform aduan tanpa nama untuk memberi ruang kepada petugas kesihatan tampil membuat laporan tanpa rasa takut dikenakan tindakan, berbanding Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) sedia ada yang mewajibkan aduan dibuat kepada ketua jabatan, sekali gus menyebabkan identiti pengadu diketahui pihak atasan.
Terdahulu awal Januari lalu, Jurucakap HDK, Dr Muhammad Yassin menggesa KKM segera mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota Kesihatan sebagai pelengkap kepada prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan perubatan awam.
Mana-mana doktor atau kakitangan perubatan didapati bersalah dan melanggar garis panduan itu wajar dikenakan tindakan tegas serta bersifat mandatori termasuk buang atau digantung kerja, sekali gus dapat mengelakkan kes buli membabitkan doktor pada masa depan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira sebelum ini meminta KKM berkongsi butiran terperinci garis panduan baharu bagi menangani isu buli dalam sektor penjagaan kesihatan itu sebelum ia dimuktamadkan.
Beliau dilapor berkata, langkah itu penting bagi membolehkan input diberi dalam pembangunan akhir garis panduan berkenaan memandangkan pengalaman luas mengendalikan laporan dan kes buli dalam kalangan petugas kesihatan dimiliki MMA yang sudah lama membangkitkan isu berkenaan.
Media pada Februari lalu memetik Dr Dzulkefly pada sidang Dewan Rakyat, memaklumkan bahawa doktor pelatih (HO) selalu menjadi sasaran utama kes buli di fasiliti kesihatan, yang perlu ditangani dengan mewujudkan suasana persekitaran kerja yang kondusif.-BH Online