KUALA LUMPUR: Cabaran dihadapi umat Islam daripada pelbagai penjuru perlu ditangani dengan menumpukan usaha memupuk nilai ilmu yang membina wahdatul fikr atau kesatuan pemikiran yang mempersatukan, bukan memecahkan umat dengan adu domba dan cerca.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan kuasa yang ada, kerajaan mendukung tradisi menggali warisan ilmu Islam seperti berlaku di Shah Alam dan Putrajaya.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri komited memberi galakan dan dukungan dalam menyegarkan wacana keilmuan bagi manfaat dan pencerahan buat umat.
“Saya singgung pengalaman kecil menekuni kitab Munyatul Musolli karangan Sheikh Daud al-Fatani yang membahaskan soal tatacara solat namun turut menyentuh perihal siyasah dan tatakelola yang baik.
“Dalam bab Tatmim al-Fa’idah, Sheikh Daud bukan sahaja menyentuh mengenai solat, namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan, yang pernah saya ulas dalam sebuah jurnal, (https://www.criticalmuslim.io/justice-for-a-praying-person),” katanya dalam status Facebooknya, malam tadi.
Status itu sempena beliau meraikan Sheikh Dr Mohammad Akram Nadwi, Sheikh Dr Majd Makki, Sheikh Prof Dr Idris al-Kharshafi, Sheikh Dr Adi Hidayat dan ulama serta tuan guru dari seluruh negara termasuk dari Patani di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Shah Alam dekat sini, sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025.
Anwar berkata, beliau menzahirkan penghargaan atas pertemuan, nasihat dan doa ulama serta guru pondok yang datang jauh ke Shah Alam.
“Semoga acara begini dapat memberi manfaat dan barakah kepada kita semua di Malaysia,” katanya.-BH Online