Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Institusi sekolah agama pondok disaran terus membantu memberikan pandangan kepada kerajaan dalam menggubal dasar dan pembangunan masyarakat dengan pendekatan baharu, tanpa meminggirkan tujuan asal penubuhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan berharap kepemimpinan institusi pondok dapat memberikan cadangan berhubung isu semasa yang dirasakan memerlukan teguran serta nasihat.

Katanya, hasrat itu juga pernah dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kerajaan kini bersedia untuk mendengar teguran kepemimpinan institusi pondok.

“Kalau ada suatu isu yang dirasakan perlu teguran dan nasihat kepada kerajaan, kita bersedia … supaya negara ini dalam kalangan (para pemimpinnya) rapat dengan ulama yang sentiasa membimbing ke arah jalan yang benar.

“Itu harapan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menutup Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (UMRAN) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Program berlangsung selama tiga hari itu mengumpulkan 200 guru pondok daripada 99 institusi berkenaan di seluruh negara.

Mohd Na’im berkata, dalam menangani keresahan masyarakat yang mencari ketenangan dalam berdepan pelbagai gejala sosial, perlu ada kekuatan jaringan antara agensi agama dan agamawan khususnya guru daripada sekolah pondok.

Justeru, katanya, beliau menasihati dan menyarankan serta menggalakkan pembabitan guru-guru sekolah pondok.

“Kita tidak dapat nafikan banyak timbul gejala sosial di negara kita. Kita dengar baru-baru ini ada di Kelantan dan tempat-tempat lain, termasuk eHati yang masih dalam siasatan polis.

“Kehadiran guru pondok hari ini kerana prihatin (untuk) bantu kerajaan menyelesaikan isu tertentu dalam negara termasuk gejala sosial,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Mohd Na’im berkata institusi pondok tidak seharusnya kekal sebagai institusi kampung semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, ulama pondok mesti diberi peranan aktif dalam dasar negara, bukan hanya di masjid dan madrasah, tetapi juga dalam jawatankuasa syura, perbincangan dasar, dan pembangunan masyarakat. 

Katanya, bagi mendepani cabaran berkenaan, beliau menyarankan beberapa langkah pembaharuan diambil dalam meningkatkan kefahaman guru pondok terhadap wacana ilmu semasa dan isu global.

“Institusi pondok juga perlu mendedahkan pelajar dengan ilmu teknologi, bahasa asing dan asas pentadbiran selain tumpuan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan jaringan kerjasama institusi pondok.” katanya.-BH Online