Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat, bagi menyampaikan hasrat 145 Ketua UMNO Bahagian berhubung isu Titah Adendum Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi pertemuan itu, Ahmad Zahid berharap Perdana Menteri dapat menggunakan budi bicara mengusahakan hasrat yang dinyatakan Ketua UMNO Bahagian terbabit,

“Saya akan menyampaikan hasrat mereka kepada Perdana Menteri dalam pertemuan sehari dua ini.

“Kita bukan mahu beliau (Anwar) campur tangan urusan mahkamah, cuma mudah-mudahan dapat menggunakan budi bicara sebagai Perdana Menteri melalui tatakelola dan perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin di Dewan Perdana di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Isam Mohd Isa.

Ahmad Zahid diminta mengulas pertemuan 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara yang mendesak Anwar melaksanakan Titah Adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Mengulas dakwaan Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, bahawa desakan Ketua UMNO Bahagian itu tidak wajar kerana kerajaan kini berkeadaan stabil, Ahmad Zahid berkata, tiada perkara lain yang dinyatakan kecuali dalam isu Titah Adendum.

“Harap mereka yang berada di situ tidak mencabuli kestabilan politik yang sedia ada,” katanya.

Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa gabungan itu sedia menggantikan kerajaan sedia ada kerana mempunyai rekod dan pengalaman yang lebih baik sewaktu mentadbir negara ketika era pandemik COVID-19 lalu, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan itu sebagai angan-angan.

“Kita tidak boleh menghalang seseorang itu berangan-angan kerana ia tidak berbayar. Tapi cukuplah ketika kerajaan beliau mentadbir dulu dikenali sebagai kerajaan gagal,” katanya.-BH Online