Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi kecewa terhadap gangguan sistem di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang berlarutan lebih 24 jam.

Beliau berkata, gangguan itu menjejaskan kelancaran urusan keluar masuk di pintu sempadan utama negara.

Katanya, beliau melakukan lawatan mengejut ke CIQ BSI bagi meninjau sendiri situasi semasa di lokasi berkenaan, petang ini.

“Saya amat kecewa apabila dimaklumkan terdapat gangguan sistem yang berlarutan lebih 24 jam dan menjejaskan kelancaran urusan keluar masuk, sehingga menyebabkan kesesakan.

“Perkara ini telah saya panjangkan terus kepada pihak berkaitan di peringkat Persekutuan. 

“Saya menggesa supaya langkah segera dapat diambil bagi memastikan isu ini tidak berulang lagi. 

“Kita memerlukan satu sistem pengoperasian yang cekap, konsisten dan mampu berfungsi pada tahap maksimum setiap masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan dikatakan punca sistem pintu automatik (autogate) di beberapa pintu masuk utama negara terjejas sejak semalam.

Unit Komunikasi Korporat (UKK) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), dalam satu kenyataan media dilaporkan berkata berikutan itu, sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini.

AKPS berkata, gangguan berkenaan juga mengakibatkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, serta CIQ BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Bagaimanapun sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, susulan keprihatinan baginda terhadap isu kesesakan yang terus menghimpit rakyat yang berulang-alik setiap hari di pintu sempadan Johor-Singapura.

Katanya, meskipun terdapat sedikit penambahbaikan dalam pengurusan kesesakan sebelum ini, ia masih belum memadai dan tidak mencapai tahap kecekapan yang diharapkan.

“Pengoperasian di pintu sempadan negara masih belum mencapai tahap kecekapan yang kita harapkan.

“Kelemahan seperti ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah boleh menjejaskan imej negara di mata dunia kerana ia satu daripada pintu masuk utama yang paling sibuk di rantau ini,” katanya.-BH Online