Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Masih terlalu awal untuk membuat keputusan berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan bagaimanapun akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Soal Nick Adams, itu kita ikut proses, masih terlalu awal (untuk buat sebarang keputusan).

“Kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan dan dalam keadaan yang sama, (menjaga) hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, hari ini.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis akan dicalonkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu. 

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’. 

Bagaimanapun, pelbagai pihak menyuarakan bantahan dan menolak pencalonan Adams. 

Mereka menyifatkan pelantikan itu adalah suatu penghinaan terhadap maruah negara dan prinsip dasar luar Malaysia yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau dan solidariti bersama rakyat tertindas, khususnya Palestin.-BH Online