KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan udara terbaru oleh Israel ke atas Damsyik yang disifatkan sekali lagi mencabuli kedaulatan Syria hingga mengorbankan nyawa orang awam.
“Serangan ini adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.
“Syria melalui penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak menikmati keamanan dan bukan keganasan berterusan atau campur tangan asing.
“Justeru Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menggesa pencabulan seperti ini dihentikan serta-merta, di samping memperbaharui komitmen terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di ibu kota Syria, Damsyik dan memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan menyerang kawasan berhampiran Istana Presiden, selepas tentera kerajaan menyerang kaum Druze di selatan Syria.
Serangan oleh Israel semakin ketara kebelakangan ini ketika Syria di bawah pentadbiran sementara pimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa, meskipun hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) semakin rapat.-BH Online