Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Negara menanggung kerugian mencecah RM4.8 bilion sejak 2018 akibat kecurian elektrik oleh sindiket perlombongan bitcoin

Mendedahkan demikian, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata jumlah kerugian semakin meningkat sejajar lonjakan nilai bitcoin di pasaran.

Katanya, kegiatan itu mula sedikit berkurangan sekitar 2022 hingga 2023, namun melonjak semula pada 2024 dan dijangka terus meningkat pada tahun ini. 

“Harga bitcoin kini dianggarkan mencecah RM500,000 seunit dan ini memberi galakan kepada pelombong haram. Melihat angka ini, kita perlu gandakan usaha dan penguatkuasaan kerana kegiatan ini tidak menunjukkan tanda akan berhenti, malah semakin berani dan berleluasa.

“Sepanjang 2023 hingga 2024 sahaja, kita merekodkan 2,399 kes, manakala bagi tahun ini, dari Januari hingga Jun, sudah terdapat kira-kira 1,800 kes,” katanya kepada media selepas menyertai operasi khas membanteras perlombongan bitcoin haram di tujuh premis sekitar Alor Setar, hari ini. 

Operasi itu turut membabitkan pegawai Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis. 

Akmal berkata, antara premis diserbu termasuk sebuah yang sudah sembilan kali dikenakan tindakan oleh ST dan TNB, terbaharu pada Mei lalu namun kembali beroperasi.

Katanya, sikap pelombong haram tidak gentar dengan tindakan penguat kuasa membuktikan bahawa undang-undang sedia ada perlu disokong dengan tindakan lebih tegas dan menyeluruh.

“Mereka tidak hanya menanggung risiko kewangan apabila mesin dirampas, tetapi juga berdepan risiko besar seperti kebakaran serta membahayakan keselamatan awam. Kita dapati ada premis terletak di bangunan yang menempatkan klinik dan kedai di tingkat bawah. 

“Bayangkan sekiranya berlaku litar pintas atau kebakaran, ia sangat berbahaya kepada orang ramai. Sistem elektrik boleh terjejas sekiranya tenaga digunakan secara berlebihan tanpa kawalan oleh pelombong haram.

“Penggunaan elektrik berlebihan memberi kesan kepada pengguna lain, terutama jika berlaku gangguan atau kebakaran. Sebab itu kita sangat serius dalam membanteras kegiatan ini, bukan sekadar atas faktor kerugian, tetapi demi keselamatan semua,” katanya.

Justeru, orang ramai diseru tampil menyalurkan maklumat jika mengesyaki berlaku kecurian tenaga atau penyambungan haram di kawasan mereka.-BH Online