Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 Sept ini.

Beliau berkata, keputusan itu sudah tentu dibuat berdasarkan pertimbangan rapi oleh pihak jurulatih dan pengurusan skuad kebangsaan khususnya berhubung aspek persediaan pemain.

“Untuk penyertaan pasukan Malaysia dalam apa-apa pertandingan, yang pentingnya atlet dan jurulatih bersedia. Saya sudah baca kenyataan jurulatih (Peter Cklamovski) dan saya percaya beliau lebih tahu mengenai persiapan pasukan.

“Saya akur dan terima sebab-sebab yang diberikan oleh jurulatih serta pihak persatuan,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 di sini hari ini.

Hannah dalam ucapannya memuji perkembangan pesat sukan pickleball di negara ini yang dilihat seiring dengan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal aktif dan bersukan.

Malaysia, yang kini berada di ranking ke-125 dunia sepatutnya beraksi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Tajikistan, juara bertahan Iran dan Afghanistan.

Kumpulan A pula menyaksikan Uzbekistan selaku tuan rumah bersama Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman.-BH Online