LABUAN: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak boleh dianggap sebagai entiti yang homogen atau sama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau menjelaskan bahawa ketiga-tiga wilayah itu berdepan cabaran yang sangat berbeza, justeru menuntut penyelesaian bersifat setempat dan berfokuskan impak sebenar kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap ketiga-tiga wilayah berkenaan tidak boleh disamaratakan.
“Selama ini, Wilayah Persekutuan sering dianggap sebagai satu entiti yang homogen.
“Namun apabila kita menyentuh soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jelas bahawa ketiga-tiga wilayah ini berdepan cabaran yang sangat berbeza,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus pascamesyuarat Jemaah Menteri bagi RMK13 bersama Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, dan delegasinya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DKBL).
Dr Zaliha memaklumkan bagi Kuala Lumpur, jurang pendapatan dalam kalangan penduduk bandar semakin melebar, justeru menuntut keseimbangan semula ekosistem pertumbuhan agar tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan.
Bagi Putrajaya pula, beliau menekankan pusat pentadbiran negara itu perlu terus berperanan sebagai perintis kepada inovasi dasar dan ketelusan dalam tatakelola awam.
Berhubung Labuan, beliau menegaskan wilayah itu memerlukan perhatian lebih strategik.
“Walaupun Labuan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang kedua tertinggi di Malaysia, pulangan hasil kepada rakyatnya masih tidak mencerminkan sumbangan sebenar wilayah itu,” katanya.
Dr Zaliha berkata, Labuan mencatat kutipan cukai sekitar RM47 juta berbanding perbelanjaan RM95 juta, sekali gus menzahirkan ketidakseimbangan fiskal yang perlu ditangani.
“Tambahan pula, kebergantungan ekonomi tempatan pada sektor minyak dan gas pula tidak serancak sedekad yang lalu, serta memerlukan kita memberi penekanan kepada sektor alternatif seperti pelancongan dan ekonomi biru sebagai pemacu pertumbuhan Labuan yang seterusnya,” katanya.-BH Online