KUALA LUMPUR, 16 Julai – Nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan meningkat 4.1 peratus kepada RM95.7 bilion pada suku pertama 2025 susulan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan itu turut disokong 50,000 peluang pekerjaan baharu sekali gus menjadikan jumlah tenaga kerja sektor berkenaan mencecah 2.87 juta orang.
“Gaji median juga meningkat 5.4 peratus kepada RM2,745, manakala perdagangan perkhidmatan melonjak 14.6 peratus.
“Pelaburan digital pula mencapai RM310.7 bilion, membuktikan Malaysia terus kekal berdaya saing,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2025 turut melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-23, iaitu pencapaian terbaik sejak 2020 hasil reformasi birokrasi dan peningkatan produktiviti.
“Insya-Allah, kita akan terus membina momentum ini demi kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-Berita RTM