PUTRAJAYA: Jenayah penculikan untuk wang tebusan serta rompakan di laut dan penyeludupan senjata api mencatatkan skor terbaik menerusi Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Berdasarkan indeks berkenaan, jenayah penculikan untuk wang tebusan serta rompakan di laut merekodkan skor 0.00 dan penyeludupan senjata api pada skor 0.22.
IKSN menggunakan skala lima tahap penarafan, bermula 0.0 hingga 1.0 (sangat selamat); 1.1 hingga 2.0 (selamat); 2.1 hingga 3.0 (sederhana selamat); 3.1 hingga 4.0 (kurang selamat); dan 4.1 hingga 5.0 (tidak selamat).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata indeks itu dibangunkan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM), membabitkan input daripada 31 agensi berkaitan.
“Keunikan IKSN ialah ia tidak hanya bersandarkan kepada data polis dan imigresen semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan agensi yang berkait langsung dengan keselamatan sempadan negara.
“Kita bina satu sistem berasaskan ‘cloud’ dan setiap agensi ini akan memuat naik data mengikut indikator ditetapkan sebanyak dua kali setahun.
“Daripada situ, kita analisis dan rumuskan tahap keselamatan sempadan berdasarkan skala yang ditentukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 58 indikator digunakan dalam analisis skor IKSN antaranya berkait isu jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata api, pendatang tanpa izin serta penculikan untuk wang tebusan (KFR).
Beliau berkata, IKSN bukan sekadar laporan prestasi tetapi menjadi panduan penting bagi menentukan pergerakan aset, kekuatan anggota dan penempatan agensi di lokasi berisiko tinggi.
“Daripada data ini, kita tahu lokasi ‘hotspot’, kita boleh buat keputusan tepat, di mana hendak tempatkan anggota, berapa kekuatan diperlukan dan agensi mana yang sesuai.
“Malah ia akan membantu KDN dalam mengemukakan permohonan peruntukan tahunan secara lebih menyeluruh kepada Kementerian Kewangan,” katanya.-BH Online