Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju mengenai keperluan segera untuk mengisi kekosongan jawatan, memperbaiki fasiliti serta menaik taraf kemudahan di tiga hospital utama di Johor bagi memperkukuh infrastruktur hospital dan kebajikan petugas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia antara perkara dipersetujui dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.

“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan supaya Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana perlu diperkukuh dan ditambah tenaga kerja serta peralatan sebelum dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan.

“Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri dan KKM sentiasa komited memperjuang hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan.

Semalam, Onn Hafiz mendedahkan Johor berhadapan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin kritikal, dengan seorang jururawat di Johor terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8, khususnya di hospital-hospital utama.

Onn Hafiz berkata, keadaan itu membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan moral petugas kesihatan, malah turut memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit.-BH Online