KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 kepada 13 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di Istana Negara di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, 10 daripadanya adalah penerima biasiswa bagi pengajian peringkat doktor falsafah (PhD), manakala tiga pada peringkat sarjana (penyelidikan).
Dua penerima biasiswa PhD dalam jurusan Farmakologi dan Farmasi ialah Mohamad Fariz Haiqal Mohd Ruslan yang melanjutkan pengajian di King’s College London, United Kingdom (UK) dan Karen Low Ka Ling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penerima biasiswa PhD lain ialah Muhammad Hamizan Zawawi (Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM); Muhamad Aiman Hakim Nor Khalid (Matematik dan Statistik, UKM); Sarah Dania Mohd Kahar (Undang-undang Komersial, Universiti Malaya (UM) dan Teoh Shu Jou (Pengurusan Data, UM).
Selain itu, Ahmad Firdaus Ahmad Sukri (Bioteknologi, USM); Nurul Angelyn Zulhairy Liong (Genetic dan Heredity, UM); Nur Zakirah Jasni (Sains Veterinar, University of Melbourne, Australia) dan Nurfatima Azzahra Fadli (Biokimia, UKM).
Penerima BYDPA yang melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana pula ialah Fatini Nadiah Mohammad Zamzami (Biokimia, UKM); Tiew Siew Jin (Bioteknologi, UPM) dan Yugashini P Muhilan (Biomedical Materials, UKM).
BYDPA adalah biasiswa berprestij negara diperkenalkan pada 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti kokurikulum seperti aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau dalam penghasilan kerja mengandungi elemen kreatif serta inovatif.
Sehingga kini, sebanyak 20 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 225 penerima iaitu 117 orang pada peringkat PhD dan 108 orang peringkat sarjana yang menerima penajaan pengajian dalam bidang ekonomi, undang-undang, sains dan teknologi, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, JPA akan melaksanakan satu kajian impak terhadap program BYDPA yang pelaksanaannya sudah melebihi dua dekad.
“Ia melewati tempoh 20 tahun dan kita berasakan perlu melihat dari segi keperluan semasa berkaitan kaedah dan bidang ditawarkan kepada pelajar nanti,” katanya.
Sementara itu, Ka Ling berkata, dia bersyukur atas penganugerahan biasiswa berprestij itu.
Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Farmasi di Hospital Melaka berazam menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan sebelum kembali berkhidmat kepada negara.
Mohamad Fariz Haiqal pula menyifatkan biasiswa itu satu nikmat besar dan bermakna dalam hidupnya serta rakan lain, sekali gus membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian pada peringkat PhD di King’s College, London.
“Semoga kami dapat menyelesaikan PhD dan sarjana dengan jayanya dan menyumbang kepada negara kita, ” katanya. – BERNAMA