PUTRAJAYA: Pemilik kereta persendirian kini boleh membuat pemeriksaan tukar hak milik (MV15) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) tambahan dalam tempoh tiga bulan lagi selepas empat syarikat pengendali baharu dilantik Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia adalah inisiatif kementeriannya untuk menangani isu kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ketika ini, selain ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023.
Beliau berkata, empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di PUSPAKOM ketika ini.
Katanya, ia bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di PUSPAKOM.
“Pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan MV15 ini adalah antara usaha kita untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan, pertukaran hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di PUSPAKOM sekarang,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan surat tawaran kepada empat syarikat berkenaan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Empat syarikat berkenaan adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Antara syarat utama pemilihan itu dibuat berdasarkan keupayaan syarikat yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM1 juta, berstatus sendirian berhad dan pemilikan tempatan; mengemukakan cadangan lokasi untuk pertimbangan tertakluk kepada kelulusan kementerian/JPJ; menyediakan infrastruktur iaitu pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan dan integrasi dengan sistem MySIKAP.
Loke berkata, tawaran kelulusan bersyarat diberikan kepada tujuh syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan, namun hanya empat yang menerimanya dan bersedia menerima syarat diletakkan.
Katanya, kelulusan bersyarat yang diberikan bagi tempoh 12 bulan itu membolehkan syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu, namun ada syarikat menyatakan mampu mula beroperasi seawal tiga bulan lagi.
Sepanjang tempoh 12 bulan itu, pemantauan berterusan akan dijalankan JPJ dan lesen operasi hanya diberikan selepas syarikat memenuhi semua syarat berkenaan serta kelengkapan peralatan.
“Walaupun kita memberikan mereka tempoh 12 bulan untuk menyediakan tempat untuk mula beroperasi, namun kita difahamkan ada syarikat yang boleh menyediakan premis mereka dalam tempoh tiga bulan.
“Jadi ini sesuatu yang kita nak percepatkan untuk memudahkan rakyat sebab ketika ini, pemilik kenderaan jika mahu menjual kereta mereka atau mereka membeli kereta terpakai melalui syarikat kereta terpakai, setiap kenderaan perlu diperiksa untuk pengesahan sebelum pertukaran hak ini dibenarkan tetapi PUSPAKOM sentiasa sesak,” katanya.
Loke berkata, inisiatif itu diambil berikutan pemeriksaan untuk pertukaran hak milik kenderaan selalunya mudah dan hanya membabitkan beberapa perkara termasuk memeriksa nombor casis kenderaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat tampil menawarkan perkhidmatan sama, berikutan hasrat kerajaan mahu PPKM tambahan itu beroperasi di seluruh negara.
Katanya, ketika ini, pengoperasian PPKM tambahan itu mungkin bertumpu di kawasan berkepadatan tinggi, namun pihaknya berharap empat syarikat berkenaan dapat memperluaskan rangkaiannya ke kawasan lain.-BH Online