KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi yang menguruskan sisa pepejal akan dikenakan penalti sekiranya mutu perkhidmatan terutama kutipan sampah di kawasan seliaan mereka tidak memuaskan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata selain penalti pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas termasuk menamatkan perkhidmatan syarikat.
“Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal penting bukan sahaja di lokaliti pelancongan tetapi juga di kawasan perumahan kerana membabitkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kementerian tidak teragak-agak mengenakan penalti serta menamatkan perkhidmatan syarikat konsesi yang gagal mencapai mutu perkhidmatan memuaskan, seperti tidak menjalankan kutipan sampah mengikut jadual dan skop kerja ditetapkan,” katanya.
BH kelmarin melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berjalan sejauh 3.2 kilometer, melakukan tinjauan mengejut sekitar Jalan Gallagher, di sini bagi melihat tahap kebersihan persekitaran di situ.
Baginda antara lain menegur keadaan longkang tersumbat dan sampah yang dilihat dibuang di tepi jalan, selain dahan pokok di atas laluan yang tidak dialihkan.
Sementara itu, Kor Ming menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim berhubung keadaan longkang tersumbat serta sampah sarap di sekitar Jalan Gallagher di sini, Sabtu lalu.
Beliau turut mengadakan tinjauan mengejut ke kawasan sama hari ini, bertujuan memastikan kerja pembersihan sudah dilakukan.
“Saya sudah mengarahkan SWCorp untuk mengambil tindakan segera bagi kerja pembersihan, termasuk di kawasan cerun bukit yang berada di luar skop jadual pembersihan secara tanggungjawab sosial korporat,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan mengenai kutipan sampah, pembersihan jalan, longkang dan tempat awam serta pemotongan rumput bagi tujuh negeri yang memakai Akta 672 kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Aduan boleh dibuat melalui saluran WhatsApp di nombor 013-2107472.-BH Online