KUALA LUMPUR: Rakyat Perak khususnya golongan muda perlu merebut peluang pekerjaan yang sedang dan bakal ditawarkan menerusi pembangunan sektor perindustrian negeri sebelum kekosongan itu diisi tenaga kerja luar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pelaksanaan agenda pembangunan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya rakyat negeri itu.
“Inilah masa untuk anak Perak rebut peluang, tak perlu berhijrah tetapi syaratnya mereka mesti ada sijil kemahiran yang diiktiraf.
“Kalau orang Perak tak ambil peluang ini, kita buka kepada orang Perlis, Terengganu, Kelantan… tapi tak apa sebab orang Malaysia.
“Kalau tak cukup juga, kita buka peluang kepada orang Bangladesh, Indonesia dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sebelum menjadi tetamu siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 di Balai Berita, Bangsar di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi, Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin.
Beberapa projek berimpak tinggi rancak dialksanakan di Perak seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP) yang akan menjadi platform penting bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak mempamer kebolehan dan kemampuan.
Semua projek berkenaan dijangka menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan di Perak dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menyedarkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima mengenai potensi kerjaya melalui TVET.
Katanya, stigma menganggap TVET sebagai pilihan kedua perlu dikikis kerana sektor itu kini menawarkan pendapatan lumayan dan permintaan tinggi di pasaran kerja.
“Semua institusi pendidikan TVET di Perak perlu menyesuaikan bidang pengajian dengan keperluan industri setempat.
“Kerajaan negeri giat melaksanakan kempen kesedaran ke seluruh daerah bagi mempromosi potensi besar kerjaya dalam bidang TVET.
“Ketika ini, sebanyak 94 peratus graduan TVET dilaporkan mendapat pekerjaan.
“Kita bawa alumni TVET yang berjaya jadi cef, tukang kimpal dan pakar animasi supaya pelajar nampak dan percaya masa depan dalam bidang ini.
“Perbincangan turut diadakan dengan pemain industri dan institusi latihan supaya penawaran kursus benar-benar relevan dengan industri yang bakal menyerap pelajar ini bekerja.
“Kita tidak mahu peluang yang ada ini lepas ke tangan orang luar hanya kerana anak Perak tiada kemahiran. Kita mahu Perak makmur, rakyat sejahtera makmur itu datang bila rakyat ada kerja dan boleh berbelanja,” katanya.-BH Online
