PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksanakan kajian semula terhadap enam undang-undang maritim negara yang disifatkan tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata enam undang-undang sedang diteliti itu membabitkan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Sarawak MSO, Sabah MSO, Akta Penswastaan Pelabuhan 1990, Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 dan Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963.
Beliau berkata, langkah kajian semula itu bertujuan memastikan industri maritim negara lebih kompetitif dan dinamik, selaras status Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan utama.
“Apa kita sedang laksanakan sekarang adalah kajian semula undang-undang maritim kita, khususnya undang-undang perkapalan yang melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Banyak daripada undang-undang ini adalah undang-undang yang sudah lama dan tidak dipinda sejak sekian lama… mungkin ada banyak perkara yang tidak lagi relevan atau tidak mengikut perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Tambah Loke, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk meneliti dan membuat cadangan pindaan yang mana ia dijangka dibawa ke Parlimen dalam tempoh setahun akan datang.
“Jawatankuasa kaji semula ini dipengerusikan oleh Tan Sri Nallini Pathmanathan iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga pakar undang-undang maritim,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha ini turut membabitkan kerjasama dan persetujuan daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi menyelaraskan undang-undang perkapalan di ketiga-tiga wilayah, tanpa mengambil alih kuasa negeri.
“Kita ada tiga autoriti berbeza dari segi undang-undang maritim. Satu untuk Semenanjung, dan kemudian kita ada Sabah dan Sarawak dengan set perundangan yang berbeza.
“Apa yang kita mahu lakukan adalah untuk menyelaraskannya supaya apa sahaja dasar atau peraturan, ia mestilah konsisten sebagai sebuah negara. Kita bukan mahu mengambil alih kuasa mereka,” tegasnya.
Loke turut menegaskan beliau menghormati hak Sabah dan Sarawak ke atas hal ehwal maritim di negeri masing-masing, namun penyelarasan adalah penting untuk memajukan industri secara menyeluruh.-BH Online
