Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiada cadangan untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) diperluas ke pantai timur buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, ini kerana kawasan berkenaan mempunyai landasan tunggal serta belum ada kemudahan landasan untuk operasi tren elektrik.

“Pantai timur hanya untuk penggunaan Diesel Multiple Unit (DMU) sebab landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pantai timur ini single track dan tidak electrified… tetapi pantai timur akan ada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Datuk Azlan Shah Al Bakri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah serta Pengerusi Rapid Bus Datuk Seri Mustafar Ali.

Loke berkata, ketika ini perkhidmatan ETS akan kekal tertumpu di pantai barat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, mengenai KTMB Loke berkata operasi pengangkutan itu perlu ditambah baik terutamanya dalam perkhidmatan komuter, ETS dan kargo yang menurut beliau belum mencapai tahap keuntungan penuh.

Namun, beliau berkata ia bukan fokus utama KTMB yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.-BH Online