AUCKLAND: Pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dihantar ke Amerika Syarikat (AS) ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti New Zealand susulan sekatan dikenakan negara itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelajar tajaan agensi lain termasuk PETRONAS dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut dipertimbang untuk dihantar ke New Zealand.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia bersedia untuk menambah 100 lagi slot tajaan untuk melanjutkan pengajian ke negara Oceania itu.
“Di United Kingdom (UK) mereka sudah memberikan diskaun sebanyak 20 hingga 30 peratus. Justeru, saya meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand supaya pelajar di bawah tajaan kerajaan dapat dihantar ke sini (New Zealand).
“Dulu kita mempunyai ramai pelajar Malaysia di sini (New Zealand). Mungkin kerana kursus-kursus di negara kita…kos pembelajarannya mungkin meningkat.
“Maka terdapat pengurangan dan pada tahun ini saja ada 690 pelajar Malaysia di New Zealand. Tetapi saya harap dengan perkembangan baharu ini lebih ramai pelajar tajaan ini akan berada di New Zealand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri sesi libat urus dengan Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata, New Zealand memiliki kelebihan dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, negara itu juga lebih kehadapan dalam bidang berkenaan apabila mereka bergantung 87 peratus tenaga negara terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Bidang ini penting untuk pelajar kejuruteraan kita. Malaysia sudah mula memfokuskan kepada tenaga hijau, tetapi pendedahan kepada teknologi baharu seperti di sini amat diperlukan,” katanya.
Dalam usaha menarik lebih ramai pelajar warga New Zealand untuk menyambung pengajian di Malaysia, Ahmad Zahid bercadang untuk mengaktifkan kembali program pertukaran pelajar antara kedua-dua negara.
Selain itu, beliau juga mengesyorkan supaya diwujudkan kursus jangka pendek dengan kerjasama institusi dan tempatan berkaitan teknikal dalam usaha menarik lebih ramai pelajar New Zealand belajar di Malaysia.
“Ketika ini terdapat sekitar 20 pelajar New Zealand yang melanjutkan pengajian ke Malaysia.
“Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand mencadangkan kursus pendek itu ditawarkan dan ini boleh dilakukan bersama dengan UniKL (Universiti Kuala Lumpur) serta UPTM (Universiti Poly-Tech MARA) iaitu institusi pengajian di bawah MARA.
“Saya harap jika ada tajaan daripada agensi dan kerajaan New Zealand, kita boleh mengambil lebih ramai pelajar terutama dalam bidang teknikal, khususnya TVET untuk belajar di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu enam universiti diiktiraf di bawah Majlis TVET serta (diiktiraf) MQA (Agensi Kelayakan Malaysia),” katanya.-BH Online