Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pemilikan Rakan KKM sebagai inisiatif yang menawarkan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ di hospital awam terpilih, kekal di tangan kerajaan dan bukannya milik swasta.

Penjelasan itu susulan pelbagai soalan dibangkitkan mengenai dakwaan penswastaan dalam inisiatif Rakan KKM, dengan beliau menjelaskan statusnya sebagai milik kerajaan sama ada secara langsung atau melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Mengulas lanjut, beliau berkata persoalan sama ada sesuatu inisiatif atau entiti itu milik awam atau swasta bergantung kepada lima perkara utama iaitu membabitkan aspek pemilikan, kawalan, sumber pembiayaan, agihan keuntungan dan tujuan penubuhan.

Dari segi pemilikan, katanya Rakan KKM Sdn Bhd kini dimiliki 100 peratus oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan apabila pelabur daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyertai, pihak berkenaan mungkin mengambil pegangan ekuiti dalam Rakan KKM Sdn Bhd.

Apa yang pasti, katanya sepanjang operasi, pemilikan Rakan KKM kekal di tangan kerajaan sama ada secara langsung atau melalui GLIC.

“Dari segi kawalan, Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan kementerian kawal selia yang bertanggungjawab membuat keputusan penting berkaitan pengurusan syarikat ini.

“Sementara sumber pembiayaan, sejumlah RM25 juta diumumkan dalam Belanjawan dan disediakan Kementerian Kewangan. Pembiayaan tambahan daripada GLIC akan diteroka dalam fasa dua, yang kemudiannya akan dibayar balik melalui hasil atau keuntungan operasi Rakan KKM. Dalam semua keadaan, sumber pembiayaan adalah daripada kerajaan atau entiti berkaitan kerajaan.

“Keuntungan pula diagihkan kepada pemegang saham atau pemilik Rakan KKM – iaitu MKD atau GLIC,” katanya melalui ciapan di platform X.

Rakan KKM membabitkan kerjasama-seluruh-kerajaan yang bertujuan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam di negara ini, membabitkan perkhidmatan elektif pesakit luar, pusat jagaan harian dan pesakit dalam.

Menjelaskan tujuan, Dr Dzulkefly berkata sebagai inisiatif awam, Rakan KKM mempunyai lima objektif utama berteraskan kepentingan awam, yang mana dalam persekitaran inflasi harga perubatan yang tinggi, inisiatif itu bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan premium ekonomi berasaskan nilai bagi menaikkan had atas kualiti perkhidmatan,

Beliau berkata, hasil lebihan daripada operasi Rakan KKM akan digunakan untuk subsidi silang bagi semua pesakit awam, seterusnya menaikkan tahap minimum mutu penjagaan,

“Rakan KKM juga, katanya menyokong usaha mengekalkan tenaga kerja kesihatan KKM dengan menyediakan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan secara signifikan.

“Ia juga berperanan sebagai penanda aras harga, termasuk untuk hospital swasta bagi mengawal inflasi harga perubatan untuk semua, termasuk pesakit yang tidak menggunakan perkhidmatan Rakan KKM secara langsung dan memberi pulangan sewajarnya kepada pemegang saham GLIC dan ahli-ahli mereka,” katanya.

Mengenai persoalan mengapa Rakan KKM dilesenkan di bawah Akta 586 sama ada ia akan menjadikannya inisiatif swasta, Dr Dzulkefly berkata pakar yang merangka akta itu sudah pun menjangkakan kemungkinan bahawa kerajaan akan menyediakan perkhidmatan kesihatan melalui badan korporat (“diperbadankan”). 

Perkara ini, katanya penting untuk memastikan padang permainan yang adil dengan sektor swasta, terutamanya jika Rakan KKM berperanan sebagai penanda aras harga. 

“Akta 586 [Fasal 10(a)(iii)] secara jelas menyatakan bahawa badan korporat kerajaan hendaklah dikawal selia di bawah akta ini,” katanya.

Petikan Fasal 10(a)(iii), Akta 586 Bahagian 1 (PERMULAAN), Seksyen 2, mentafsirkan “kemudahan jagaan kesihatan kerajaan” adalah apa-apa kemudahan yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan bagi mengadakan perkhidmatan jagaan kesihatan yang ditubuhkan, disenggarakan, dikendalikan atau disediakan kerajaan tetapi tidak termasuk kemudahan jagaan kesihatan kerajaan yang diswastakan atau yang diperbadankan.-BH Online