KUALA LUMPUR: Malaysia yakin rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif import dapat mencapai situasi ‘menang-menang’ bagi kedua-dua belah pihak.
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia akan meneruskan perbincangan dengan pihak pentadbiran AS sehingga 1 Ogos ini.
“Kita mendapat lanjutan perbincangan sehingga 1 Ogos ini. Ia sebenarnya soal masa. Kita perlukan lebih masa kerana perlu membabitkan semua pihak berkepentingan iaitu industri, agensi dan kementerian. Bukan mudah kerana ada isu-isu yang perlu dibincang secara lebih mendalam. Sebab itu kita minta lebih masa.
“Saya masih optimistik bahawa dengan lanjutan masa ini, kita boleh capai kesimpulan rundingan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bloomberg TV.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, perbincangan turut menjurus kepada sasaran sifar tarif kepada beberapa sektor tertentu.
“Sekarang ini perbincangan lebih kepada purata tarif. Namun saya masih optimistik untuk sektor tertentu, kita masih boleh bincang (sifar tarif).
“Contohnya, semikonduktor dan farmaseutikal masih dikecualikan daripada tarif 10 peratus yang diumumkan oleh Donald Trump. Jadi, kita berharap untuk kekalkan kadar sifar bagi eksport penting ke AS, terutama semikonduktor,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, selain isu mengenai semikonduktor dan eksport ke China membabitkan cip, perbincangan tertumpu lebih kepada isu pertanian kerana kedua-dua negara mempunyai standard pertanian yang berbeza.
Beliau berkata, intipati lain perbincangan juga membabitkan pengiktirafan halal serta ekonomi digital.
“Ini semua bukan isu tarif. Dari segi tarif, kita hampir selesai. Tarif kita ke AS memang sudah rendah, purata tarif dikenakan sekitar 5.6. Sebab itu saya masih optimistik. Namun, ia masih tertakluk kepada persetujuan AS. Rundingan masih berjalan,” katanya.
Mengenai impak tarif AS ke ekonomi Malaysia pula, Tengku Zafrul menjelaskan Bank Negara Malaysia (BNM) masih membuat analisis berdasarkan konsensus.
Beliau berkata, unjurannya adalah impak bermungkinan 50 hingga 100 mata asas untuk tahun ini, namun ia masih bergantung kepada sama ada tarif 25 peratus dikenakan kepada semua negara dan sektor.
“Buat masa ini, ada sektor yang dikecualikan seperti farmaseutikal, semikonduktor dan mineral strategik. Jadi anggaran itu berdasarkan andaian tertentu.
“Adakah Malaysia dijangka mengalami kemelesetan? Jawapan saya adalah tidak. Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih antara 5.0 hingga 5.5 peratus.
“Jadi, buat masa ini, sasaran KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus masih kekal. Namun, kita tunggu akhir Julai atau awal Ogos untuk unjuran yang dikemas kini daripada BNM dan Kementerian Kewangan bagi 2025 dan 2026,” katanya.
Tengku Zafrul turut menerangkan, di sebalik konflik tarif itu, Malaysia akan melaksanakan langkah mempelbagaikan pasaran, bukan sahaja kepada pasaran baharu, tetapi memperluaskan capaian pasaran sedia ada.
“Kita juga bantu pengeksport tempatan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini umumkan sokongan tambahan kepada pengeksport dari segi galakan eksport.
“Dan yang paling penting, kita perlu pastikan syarikat Malaysia kekal berdaya saing, terutama dalam sektor di mana kita ada kelebihan,” katanya.-BH Online