Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Rang undang-undang (RUU) bagi mengawal pendedahan berlebihan kanak-kanak perlu digubal bagi melindungi golongan itu di media, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata ketika ini Malaysia tidak memiliki peruntukan undang-undang khusus berkaitan pendedahan kanak-kanak sama ada menerusi iklan di televisyen atau media sosial.

Katanya, langkah itu penting kerana banyak negara lain sudah mempunyai undang-undang kukuh untuk melindungi kanak-kanak di dalam media digital dan Malaysia juga perlu bergerak ke arah yang sama.null

“Penggubalan undang-undang akan dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dengan kerjasama rapat Kementerian Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kementerian kami tidak menggubal undang-undang secara langsung tetapi kami sedia bekerjasama dan memberikan input bersama agensi lain,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Laporan UNICEF baru-baru ini mendedahkan sebanyak 40 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak mengetahui cara melindungi diri mereka ketika melayari internet, manakala 83 peratus lagi terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian akibat perlindungan yang tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Nancy berkata inisiatif awal akan dilaksanakan menerusi penyertaan Malaysia pada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva pada Januari tahun depan.null

“Perbincangan bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan negara-negara lain akan dijalankan untuk mendapatkan maklum balas serta input berkenaan isu keselamatan digital kanak-kanak,” katanya.

Nancy berkata, ketika ini kerajaan melalui Majlis Sosial Negara sedang menjalankan pelbagai intervensi membabitkan agensi seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MCMC dan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu itu secara menyeluruh.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan adalah kempen kesedaran di media sosial dan televisyen yang menasihatkan ibu bapa agar tidak mendedahkan anak-anak secara berlebihan dalam media demi keselamatan mereka.

“Kita tidak mengalakkan ibu bapa terlalu mendedahkan anak di media sosial hanya kerana mereka rasa anaknya comel kerana ini boleh membawa risiko besar kepada keselamatan mereka,” katanya.

Nancy turut menekankan peranan advokasi melalui lawatan ke sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai bahaya serta kesan penggunaan media sosial dan teknologi digital terhadap kanak-kanak.-BH Online