KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan siasatan terhadap pendedahan dan penyebaran disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan media sosial.
“Semua saksi kompeten akan dipanggil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis dibuat berhubung kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar dalam talian semalam.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini dilaporkan berkata beliau difahamkan laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat.-BH Online