Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA TERENGGANU: Terengganu dipilih negeri pertama melaksanakan program Tuisyen MADANI dengan peruntukan RM5.27 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 9,408 pelajar membabitkan khidmat 614 guru sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemilihan Terengganu sebagai perintis program berkenaan berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam oleh pelajar di negeri itu.

“Saya hargai dan nampak Terengganu mencatat keputusan cemerlang dan saya turut bangga sebagai seorang bapa dan datuk. (Oleh itu) saya ingin umumkan khusus (Tuisyen MADANI) untuk Terengganu dulu sebagai permulaan bantuan kepada pelajar sekolah.

“Bantuan ini (dilakukan) dengan kerjasama pengajar iaitu guru sekolah. Ini program pertama di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar berkata, pelaksanaan program Tuisyen MADANI di bawah inisiatif pembasmian kemiskinan di Terengganu adalah tambahan kepada bantuan RM100 yang disalurkan bagi pembelian buku serta bahan bacaan kepada pelajar dan guru. 

Beliau berkata, pelaksanaan program itu akan diselia menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan, malah kerajaan bercadang memperluas pelaksanaannya ke Kelantan selepas ini.

Anwar turut mengumumkan kerajaan meluluskan pembinaan sebuah kolej matrikulasi baharu di Marang dan perolehan tanah bagi kampus Politeknik Kuala Terengganu.

Pada majlis sama, 10 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 turut menerima peranti MADANI (PERMAI).

Sementara itu, Anwar berkata, sejumlah RM30 juta diperuntukkan kepada Terengganu menerusi Program SejaTi MADANI, iaitu inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti.

Katanya, setiap kampung diberikan dana dan kampung itu akan memilik sendiri (aktiviti ekonomi komuniti) yang mahu dilakukan.

“Saya pergi ke satu kampung di Parit Buntar, Perak, saya melihat mereka beli dua dron kemudian sewakan untuk meracun dan membaja. Sekarang setiap bulan untung bersih RM30,000

“Jika kita beri keupayaan kepada orang kampung dan diurus dengan baik, kadang-kadang projek itu lebih baik daripada projek lain,” katanya. 

SejaTi MADANI memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. 

Penganjuran PMR 2025 Terengganu mencatat sambutan luar jangka apabila jumlah kehadiran pengunjung setakat jam 12 tengah hari tadi mencecah 82,182 orang, melepasi sasaran awal 25,000 pengunjung untuk penganjuran program selama tiga hari.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).– BERNAMA