TANAH MERAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyanggah dakwaan pimpinan PAS yang mengatakan pembangunan Kelantan disekat dan dipinggirkan sejak sekian lama.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah mustahil kerana setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun Kelantan, semestinya akan mengumumkan peruntukan.
“Malah, untuk yang terbaru saya sendiri dengar apabila berlaku keruntuhan cerun di Kelantan, Perdana Menteri beri kelulusan peruntukan segera sebanyak RM6.6 juta.null
“Setiap kali banjir pun Kerajaan Pusat bantu Kelantan, jadi saya harap beliau mendapatkan maklumat terperinci daripada kepimpinan beliau.
“Jangan cuba racuni pemikiran rakyat dengan maklumat yang tidak betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, hari ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menerusi Facebook memaklumkan Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai lebuh raya sebagaimana negeri lain.
Beliau turut mendakwa, sebahagian projek pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan ditahan dan dilengahkan Kerajaan Pusat atas sebab-sebab yang tidak pernah dijelaskan secara adil.-BH Online