Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 menekankan kepentingan untuk mengambil tindakan yang tidak bersifat ketenteraan, selain sikap menahan diri dalam setiap aktiviti oleh negara yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Ini termasuklah seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Tatalaku (DOC) Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan pada 2002.

Melalui kenyataan bersama hari ini, barisan menteri Luar ASEAN memaklumkan beberapa menteri menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Laut China Selatan ketika membincangkan topik berkaitan isu serantau dan antarabangsa.

Selain Laut China Selatan, turut dibangkitkan mengenai perkembangan di Myanmar dan Semenanjung Korea, selain situasi di Ukraine dan Asia Barat.

Dalam konteks Laut China Selatan, kebimbangan dibangkitkan mengenai tindakan yang membahayakan keselamatan semua pihak, yang menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar marin, menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan berpotensi menjejaskan keamanan, keselamatan serta kestabilan serantau.

“Kami sekali lagi menegaskan keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan sikap menahan diri dalam melaksanakan sebarang aktiviti yang boleh merumitkan atau memburukkan lagi pertikaian dan menjejaskan keamanan dan kestabilan, serta mengelakkan tindakan yang boleh terus meruncingkan keadaan.

“Kami turut menegaskan semula kepentingan menyelesaikan pertikaian secara aman, selaras prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

“Kami menegaskan semula kepentingan untuk mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan pelayaran, serta kebebasan navigasi dan penerbangan di Laut China Selatan. Kami juga mengiktiraf manfaat menjadikan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman, stabil, makmur dan berorientasikan pembangunan lestari,” demikian kata kenyataan itu yang dikongsi Kementerian Luar kepada media hari ini.

Kenyataan itu susulan AMM ke-58 yang berlangsung Selasa lalu, dengan barisan menteri luar turut menegaskan kembali kepentingan untuk mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan pelayaran serta kebebasan navigasi dan penerbangan di Laut China Selatan, serta mengiktiraf manfaat menjadikan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman, stabil, makmur dan berorientasikan pembangunan lestari.

Sehubungan itu, mereka menekankan kepentingan pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan DOC Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan.

“Kami mengalu-alukan kemajuan yang dicapai setakat ini dalam rundingan berterusan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, terutamanya penyelesaian bacaan ketiga bagi Teks Rundingan Draf Tunggal COC (SDNT) dan menggalakkan momentum positif diteruskan ke atas draf COC.

“Selaras Garis Panduan Mempercepatkan Penyempurnaan Awal Kod Tatalaku yang Berkesan dan Substantif di Laut China Selatan, kami menantikan penyempurnaan awal COC yang berkesan dan substantif, selaras undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan keyakinan bahawa COC di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, dengan rundingan mengenainya menunjukkan momentum positif.

Beliau berkata ASEAN mengalu-alukan perkembangan itu yang diharap akan berterusan dan percaya ia akan dicapai dengan komitmen penuh semua pihak dalam rundingan berkenaan.

Mengenai Myanmar, kenyataan Menteri Luar itu memaklumkan, ASEAN akan membuat semakan menyeluruh terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengemukakan syor pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.

Mereka melahirkan kebimbangan dengan peningkatan konflik dan situasi kemanusiaan di Myanmar, mengharapkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC berkenaan.

Pada masa sama, Menteri Luar ASEAN menghargai peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim yang dilantik Januari lalu dalam melaksanakan mandat yang diberikan, yang secara aktif berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar daripada pelbagai latar belakang.

Mereka turut bersetuju supaya pegawai kanan di negara anggota meneroka strategi baharu bagi memastikan kesinambungan peranan Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar.-BH Online