KUALA LUMPUR: ASEAN mengalu-alukan serta menyokong segala usaha ke arah keamanan termasuk di Ukraine dan Asia Barat, menegaskan ia harus berlandaskan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara itu ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan konflik terpanjang dalam sejarah moden yang berpunca daripada pendudukan haram dan tidak adil ke atas Wilayah Palestin, mesti ditamatkan.
“Selama 80 tahun, kekebalan daripada tindakan (undang-undang) telah mendorong Israel untuk secara terbuka melakukan pembunuhan beramai-ramai, termasuk melalui kelaparan besar-besaran yang membabitkan bayi dan kanak-kanak.
“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Asia Timur ke-15, bersempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ditubuhkan pemimpin ASEAN pada 2005 sebagai forum dialog bagi membincangkan isu strategik, politik dan ekonomi yang luas serta berkepentingan dan menjadi kebimbangan bersama, dengan matlamat mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran ekonomi di Asia Timur.
Mohamad dalam pada itu, mengajak semua memperingati ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur tahun ini dengan ikrar untuk mengambil tindakan tegas bagi menamatkan semua konflik, serta melaksanakannya berlandaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, persamaan dan kemanusiaan.
“ASEAN mengharapkan penglibatan yang membina serta komitmen semua rakan kerjasama ke arah memastikan keamanan yang berkekalan, kemakmuran bersama, dan kemajuan yang berterusan bagi rantau ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, dunia hari ini berdepan pelbagai krisis yang kompleks, dengan konflik yang tercetus di seluruh dunia, persaingan kuasa besar, pemecahan ekonomi, kepesatan perubahan teknologi dan ancaman keselamatan, yang memberi kesan kepada keamanan global, kemakmuran bersama serta kesejahteraan rakyat.
Justeru, katanya amat penting untuk EAS mengekalkan tujuan dan matlamatnya, menggalakkan pembabitan yang berprinsip dan mengenengahkan titik persamaan dalam isu yang menjadi kepentingan bersama.
“Dalam konteks ini, Malaysia menghargai sokongan negara EAS terhadap keutamaan kami sebagai Pengerusi untuk memupuk kepercayaan strategik melalui diplomasi, niat yang baik dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk melalui platform ini,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad berkata, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal kira-kira AS$68 trilion (RM289.4 trilion), merangkumi lebih separuh daripada ekonomi global, ia mencerminkan keupayaan ekonomi negara EAS, yang bukan hanya terhad kepada platform dialog semata-mata.
“EAS juga adalah enjin kerjasama yang berkuasa dalam memperluas kemakmuran bersama dan meningkatkan daya tahan sosioekonomi,” katanya.
EAS dianggotai 18 negara termasuk 10 negara ASEAN bersama Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat (AS).-BH Online